INILAH hotel di Jalan Empat, Sandakan yang menjadi lokasi seorang remaja lelaki warga asing mengurung dan memperdagangkan tiga gadis bawah umur untuk dijadikan pelacur melalui aplikasi Wechat.
SANDAKAN – Remaja berusia 18 tahun yang dipercayai menjadi antara dalang mengurung dan memperdagangkan tiga gadis bawah umur dijadikan pelacur dicekup di sebuah hotel di Jalan Empat di sini kelmarin.
Siasatan awal mendapati, penjenayah warga asing itu ‘mempromosi’ tiga mangsa yang masing-masing berusia antara 15 hingga 17 tahun itu menggunakan aplikasi WeChat.
Melalui langganan secara online itu, setiap pelanggan yang berminat ke atas gadis-gadis itu perlu membayar RM180 untuk mendapatkan khidmat seks.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Azhar Hamin berkata, ketika operasi dijalankan, polis menemui tiga mangsa bersama suspek berkenaan.
“Ketiga-tiga mangsa yang merupakan warga tempatan merayu agar diselamatkan dan memberitahu polis yang mereka dipaksa untuk melakukan aktiviti seks,” katanya semalam. (Kosmo!)