
KUALA LUMPUR 31 Mei – Muslimat Pas membantah sekerasnya terhadap mana-mana gerakan atau individu yang mendesak kerajaan untuk melupuskan institusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Dalam satu kenyataan akhbar, Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia Salamiah Mohd Nor berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mesti menyatakan pendirian terhadap isu Jakim kerana dalam perlembagaan Perkara 3 (1) telah tertulis Islam adalah Agama Persekutuan.
“Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Muslimat PAS turut menegaskan bahawa penubuhan Jakim yang dinaik taraf daripada Bahagian Hal Ehwal Islam (Bahies) pada awalnya sebagai satu implementasi butiran dalam Perkara 3 (1) sejak dari tahun 1997 hingga kini,” kata Salamiah.
Menurut Salamiah, Jakim merupakan sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan yang melaksanakan tiga fungsi utama iaitu Penggubalan dan Penyeragaman Undang-undang Syarie, Penyelarasan Pentadbiran Islam dan Penyelarasan dan Pembangunan Pendidikan Islam.
“Justeru kami Muslimat Pas bertanggungjawab untuk menyeru dan mengajak semua pihak terutama Muslim seluruh Malaysia agar mengambil berat tentang gerakan yang tidak wajar ini.
“Kepada rakan-rakan bukan Islam, anda tidak perlu risau dan khuatir untuk mengamalkan agama masing-masing sebagaimana telah termaktub dalam Perkara 3 (1) di atas dan institusi Jakim sendiri hanya khusus untuk agama Islam, tidak mengganggu perihal agama lain,” kata Salamiah.
Beliu juga berkata, muslimat Pas juga sangat berharap agar kerajaan baru Pakatan Harapan dapat memelihara kesucian agama Islam terutama dari sudut pelaksanaannya.-UTUSAN ONLINE
Beliu juga berkata, muslimat Pas juga sangat berharap agar kerajaan baru Pakatan Harapan dapat memelihara kesucian agama Islam terutama dari sudut pelaksanaannya.-UTUSAN ONLINE