
NORHIMAH Aziz.
ROZIETA Khamsi. - Foto Ihsan Pembaca
NOR Adlina Afzan Mohd Razak. - Foto Ihsan Pembaca
KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya majikan di pelbagai sektor menambah cuti bersalin daripada 60 hari kepada 120 hari wajar dilaksanakan bagi memacu produktiviti dan tahap kesihatan wanita sejurus mereka kembali bekerja
Penambahan cuti bersalin itu juga tidak seharusnya dianggap sebagai punca kerugian kepada organisasi dan majikan atau dijadikan alasan diskriminasi terhadap golongan itu dalam sektor pekerjaan.
Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz, berkata penambahan cuti bersalin seperti dilaksanakan perkhidmatan awam juga menjadi keperluan penting wanita dalam sektor swasta.
Katanya, peruntukan perlindungan kesihatan ibu dan anak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menetapkan majikan wajar menyediakan keperluan tertentu sepanjang tiga fasa kehidupan reproduktif wanita iaitu kehamilan, melahirkan bayi dan selepas bersalin.
Penambahan tempoh percutian itu juga akan memberikan manfaat terhadap kualiti kesihatan wanita dan kesejahteraan keluarga terutama dalam kalangan mereka yang baharu bergelar ibu.
"Wanita boleh memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bayi, termasuk memberi penyusuan eksklusif, selain memastikan kesihatan ibu pulih sebelum memulakan tugas dan bebas tekanan," katanya.
Beliau mengulas mengenai janji Pakatan Harapan (PH) dalam Belanjawan Alternatif untuk Malaysia pada pembentangan Bajet 2018 lalu yang akan memberi cuti bersalin 120 hari dengan paras gaji sama yang setara dengan kakitangan lelaki.
Norhimah berkata, majikan bagaimanapun diminta tidak mengamalkan sikap diskriminasi menjadikan pemberian cuti bersalin itu sebagai alasan untuk meminggirkan pekerja wanita.
Katanya, majikan dan organisasi boleh merancangkan sistem kerja untuk menguruskan kerja atau tugasan sepanjang wanita dalam cuti bersalin.
"Kebanyakan syarikat swasta di Eropah sudah mengamalkan cuti bersalin bahkan sehingga enam bulan bagi memastikan wanita dapat menguruskan diri dan anak sebelum benar-benar sihat untuk kerja.
"Paling penting adalah pengurusan masa dan dengan adanya kemudahan teknologi majikan boleh berhubung dengan pekerja sungguhpun mereka dalam tempoh bercuti sekiranya ada urusan kerja penting.
"Sudah tiba masanya pendekatan baharu dan menyeluruh dibuat agar kepentingan dan kebajikan pekerja wanita sentiasa diberikan perhatian dan dinilai dari aspek kemampuan wanita itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Eksekutif Institut Kewangan Swasta, Rozieta Khamsi, 34, berkata cadangan kerajaan itu dilihat akan memberi impak positif kepada emosi dan kesihatan mental wanita sejurus kembali ke alam kerjaya.
"Pelaksanaan ini sebagai sokongan moral kepada wanita berkerjaya Polisi membabitkan cuti bersalin perlu diwujudkan sebagai garis panduan kepada majikan," katanya.
Rozieta berkata, hasrat murni kerajaan itu bakal memberi peluang kepada kakitangan wanita berdepan tuntutan sebagai ibu dan pekerja mengimbangi tanggungjawab baharu dengan masa mencukupi berbanding sebelum ini
"Mereka perlu mengimbangi keperluan kerja dan kehidupan sebelum kembali ke pejabat dan melaksanakan peranan berkesan di tempat kerja," katanya.

Usahawan, Nor Adlina Afzan Mohd Razak, 34, berkata ia memberi kesan jangka panjang terhadap pembinaan generasi akan datang tetapi juga bertujuan melahirkan pekerja lebih produktif dan berdaya saing bagi memacu ekonomi negara.
"Realitinya, penambahan cuti bersalin sehingga 120 hari bukan saja satu kehendak tetapi keperluan penting berikutan sudah ramai wanita keluar bekerja sama ada sebagai pekerja swasta mahupun kerajaan," katanya.
Beliau berkata, wanita juga dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja jika cuti pendek dibenarkan kerana mengingati bayi yang masih memerlukan belaian dan perhatian. (BH)