SEKALIPUN Saudi saja yang melaksanakan syariat, paling ke depan antara daulah Islam kini, tetapi masih belum sama dengan yang Nabi saran dan para khalifah awalun laksanakan. Wilayah Islam yang lain rata-rata beramal serba serbi mengikut jahiliah semasa.
Pelaksasaan hudud dan jenayah Islam lainnya berjalan di sini saja. Akan siasah dan kedaulatan Islam tiada yang dapat dijadikan contoh. Saudi sebagai tapak bermulanya Islam dan bumi kelahiran Rasulullah SAW, sepatutnya menjadi model unggul pemerintahan Islam.
Kelahiran Saudi bukan saja belum mencerminkan apa yang Nabi pesan, bahkan dibandingkan dengan yang empayar Uthmaniyah Turki tidak jadi.
Dibandingkan dengan Amerika, Eropah nampak Islamlah ia, politiknya tidak dapat membanggakan Islam.
Perkembangan semasa, langsung tidak mencerminkan kemajuan Islam.
Pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di konsulatnya di Istanbul amat memalukan Islam. Pembunuhan itu gara-gara dia pengkritik tegar pentadbiran Saudi sekarang, suatu teguran yang dibenarkan politik dunia semasa.
Bahkan Khalifah Abu Bakar Siddiq dan Umar Al-Khatab minta mereka ditegur. Saidina Umar bangga dengan seorang rakyat yang mengangkat pedang, memberitahu baginda pedang itu akan singgah ke badannya jika berlaku penyelewengan.
Ia patut menjadi contoh politik Saudi, justeru tiada di dunia sepanjang sejarah begitu terbuka seperti siasah syariyah Saidina Umar.
Tiba-tiba Jamal Khashoggi yang tidak selantang pemuda yang mengacukan pedang kepada Saidina Umar, dibunuh begiu kejam kerana kepercayaan dunia, dia menegur Raja dan anak raja, suatu yang tidak dikira salah oleh mana-mana politik sepanjang zaman.
Saudi gagal belajar dari sirah Khalifah ar-Rasyidin.
Nabi SAW melakar adab peperangan. Jangan mangsakan kanak-kanak, wanita dan orang tua. Jangan binasakan tumbuh-tumbuhan.
Dalam serangan Saudi terhadap Yaman, atas apa perhitungan sekalipun, senjata Saudi yang dibekalkan oleh konco-konco negara ahli kitab baratnya, bukan sekadar memangsakan orang awam, ia menyapu habis kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Adab perang itu adalah sunnah Allah dan sunnah Rasul-Nya. Ia adalah Islam.
Soal pemberontak Yaman pro Syiah bersenjata canggih menentang kerajaan Sunni, bukan alasan yang dapat diterima bumi Yaman dibakar bertahun-tahun hingga nasib kanak-kanak, wanita dan orang tua menyamai kezaliman Hitler dalam perang dunia kedua.
Entiti Israel itu kejam terhadap Islam Palestin sepanjangnya. Mereka adalah Yahudi sedang nabi mereka pun mereka bunuh.
Saudi adalah mewarisi Islam, agama yang dibawa Nabi Muhammad SAW, dan tanah air baginda diwarisi oleh Saudi, lengkap dengan sunah parangnya, tetapi gagal memastikan tidak mengancam kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Jika ia tidak berpandukan Islam dan sunah untuk membunuh Khashoggi, maka yang menghalangnya membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua di Yaman. Mengapa senjatanya tidak digunakan mengebom rejim Baath Bashir Syria yang juga membunuh kanak-kanak, orang tua dan wanita?
Saudi hanya memberatkan sunah dalam fikah mazhabnya tetapi membakulsampahkan sunah politik syariyah dan ajaran bernegara yang Nabi SAW dan khalifah tinggalkan. Yang Nabi dan khalifah tinggalkan bukan untuk ditinggalkan tetapi untuk dilaksanakan.
Yang ada seolah-olah tiada sunah langsung dalam siasah. –HARAKAHDAILY 30/10/2018