Serangan Terburuk Terhadap Yahudi AS. Tiada Kaitan Dengan Islam?


PENYOKONG dan ahli komuniti Yahudi berkumpul bagi memperingati mangsa serangan tembakan di Pittsburgh. - Foto AFP  


PENNSYLVANIA: Pembunuhan 11 orang di kuil Yahudi di Pittsburgh dipercayai serangan anti semitik terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).
Ini dinyatakan oleh Liga Anti-Fitnah (ADL) selepas seorang lelaki bersenjatakan raifal menjerit 'semua orang Yahudi mesti mati' ketika berlari masuk ke dalam kuil dan melepaskan tembakan menyebabkan 11 orang maut, semalam.
ADL sudah menyatakan bahawa insiden anti semitik melonjak lebih 50 peratus pada 2017 kepada hampir 2,000 kes, peningkatan terbesar sejak mereka mengutip data mengenainya.

Penyerang dikenali sebagai Robert Bowers, 46, yang menggunakan raifal separuh automatik dan tiga senapang patah.
Tembakannya juga menyebabkan enam orang lagi cedera termasuk empat anggota polis dalam serangan yang berlangsung 20 minit, lapor portal berita.
Ia berlaku di kuil 'Tree of Life Congregation'. Ketika kejadian, seramai 100 orang berada di dalam untuk menyaksikan majlis bersunat.
Bowers turut cedera selepas ditembak polis dan menghadapi 29 dakwaan termasuk melakukan jenayah kebencian dan melanggar undang-undang senjata api.
Serangan itu berlaku selepas banyak kumpulan Yahudi memberi amaran supaya pihak berkuasa berjaga-jaga mengenai kemungkinan serangan anti semitik ketika suasana tegang membabitkan isu agama dan kaum di AS.
Dalam satu mesej dalam media sosial, Bowers turut menuduh Presiden Donald Trump sebagai seorang 'globalist' yang tidak melakukan apa-apa untuk menyekat Yahudi 'membiak' di AS.
Beberapa lokasi Yahudi menjadi sasaran serangan dan tembakan sejak beberapa tahun lalu.
Pada 2014, seorang lelaki neo-Nazi bersenjatakan senapang menembak mati tiga orang di sebuah pusat masyarakat Yahudi dan komuniti pesara di Kansas City.
Seorang pegawai polis maut ditembak di muzium peringatan Holocaust AS di Washington DC pada 2009.
Pada 1994, seorang lelaki pelampau kulit putih melepaskan 10 tembakan ke arah kuil Temple Beth di Eugene, Oregon, tetapi tiada yang cedera. - Agensi 
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tiada kaitan dengan Islam..