KEPUTUSAN tidak rasmi Pemilihan PKR setakat ini menyaksikan Rafizi (kiri) bangkit dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden apabila meninggalkan pencabarnya, Mohamed Azmin. - Foto EPA
KUALA LUMPUR: Keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR setakat ini menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bangkit dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden apabila meninggalkan pencabarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan jurang tipis sebanyak 1,229 undi.
Setakat ini, Rafizi memperoleh 46,477 undi, manakala Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi selaku penyandang jawatan Timbalan Presiden meraih 45,248 undi.
Keputusan itu berdasarkan maklumat terkini merangkumi 12 negeri yang sudah mengadakan pemilihan masing-masing.
Daripada jumlah itu, enam negeri sudah memuktamadkan keputusan iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Selebihnya adalah negeri yang masih lagi dalam proses memuktamadkan keputusan merangkumi pemilihan fasa satu dan dua di Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah serta Perak.
Esok pula akan berlangsung pemilihan PKR fasa tiga di Selangor membabitkan enam cabang iaitu Tanjung Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.
Bagi jawatan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar memberikan saingan hebat apabila wujud jurang undi ketara diperoleh anak perempuan bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding pencabarnya yang lain.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu meraih undi sebanyak 45,500 undi. Beliau diekori Ahli Parlimen Ampang yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang memperoleh 35,665 undi.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar pula memperoleh 30,885 undi dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dengan 26,270 undi sekali gus keempat-empat mereka berada dalam slot jawatan Naib Presiden.
Jawatan Naib Presiden hanya menyediakan empat slot untuk diisi.
Saingan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak kurang hebatnya apabila tiga calon berentap bagi merebut jawatan berkenaan.
Mereka adalah Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang memperoleh 8,149 undi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin mendapat 8,136 undi dan ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi tercorot dengan 1,781 undi.
Perlumbaan bagi merebut jawatan Ketua Wanita PKR pula menyaksikan ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha jauh meninggalkan Fuziah Salleh yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari segi undi.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan Haniza mempunyai peluang cerah untuk merangkul jawatan sebagai Ketua Wanita PKR apabila memperoleh undi sebanyak 15,117 undi, manakala Fuziah hanya meraih 11,979 undi. (BH)