TOKYO: Ibu Akihiko Kondo menolak jemputan perkahwinannya pada bulan ini. Ini kerana dia akan berkahwin dengan hologram, penyanyi maya digelar Hatsune Miku.
"Bagi seorang ibu, ia bukan sesuatu yang patut diraikan," kata lelaki berusia 35 tahun.
Malah tiada saudara mara menghadiri majlis perkahwinannya dengan Miku, animasi berumur 16 tahun.
Namun, ia tidak menghalang Kondo untuk meneruskan acara tersebut di sebuah dewan di Tokyo yang turut menelan kos 2 juta yen (RM73,643). Kira-kira 40 tetamu menyaksikan lelaki terbabit mengikat tali cinta dengan Miku yang hadir dalam bentuk anak patung.
Sejak Mac lalu, Kondo telah 'tinggal' bersama hologram Miku dalam sebuah komputer. Syarikat yang menghasilkan peranti menampilkan Miku, Gatebox turut mengeluarkan 'sijil perkahwinan' kepada Kondo.
Difahamkan, firma tersebut telah memberikan lebih 3,700 sijil perkahwinan 'rentas-dimensi' seperti pasangan Kondo dan Miku. - AFP
Komen Weblog Ibnu Hasyim: "..dia akan berkahwin dengan hologram, penyanyi maya.." Begitu kisahnya. Apa pula hologram itu? Sesetengah orang melihat teknologi sejuk ini hanya sebagai impian, hanya boleh dilihat dalam filem. Tetapi, sekarang dikatakan boleh jadi realiti. Apa hologram itu?
Seimbas mengenai 'Hologram'.
Hologram adalah teknologi fotografi mencatatkan cahaya yang tersebar dari objek dan membentang dalam bentuk 3 dimensi. Kita dapat melihat imej 3-dimensi sehingga 360 darjah.
Boleh bergerak dengan animasi dan bunyi, sehingga dapat menyampaikan informasi baik secara realtime mahupun tidak. Dibangunkan untuk membantu manusia dalam proses komunikasi.
Diwujudkan sejak akhir 1940an oleh ahli fizik Hungary Dennis Gabor. Hologram statik 3-dimensi pertama kali dihasilkan pada tahun 1960an selepas pancaran laser ditemui oleh saintis Soviet bernama Yuri Denisyuk. Begitu kira-kira..
Soalnya, bagaimana hukumnya dari sudut kemanusiaan dan agama? Sehingga disebut syarikat yang menghasilnya Gatebox turut mengeluarkan 'sijil perkahwinan'. Bahkan memberi lebih 3,700 sijil perkahwinan 'rentas-dimensi' itu.
Kahwin dengan teknologi pun ada surat nikah?