Lihat sebelum ini..
Siri 1: Mufti Wilayah Menulis: Guna Mata Wang Bitcoin. Bag...
SEJARAH BITCOIN
Bitcoin ialah satu mata wang digital yang dicipta pada tahun 2009 oleh Satoshi Nakamoto, satu nama yang masih belum diketahui sehingga sekarang dan masih diperdebatkan samada ia merujuk kepada seorang individu ataupun sekumpulan manusia.
Operasi bitcoin (dan juga mata wang digital / kripto yang lain) diselenggara oleh satu autoriti yang tidak berpusat, berbeza dengan mata wang biasa yang diselenggara oleh badan kewangan atau bank negara masing-masing. Transaksi bitcoin dijalankan secara terus melalui saluran kriptografi antara pengguna tanpa ada perantara atau orang tengah.[27] Ia juga boleh ditukar atau dijual beli dengan mata wang biasa, produk atau servis.[28]
Bitcoin merupakan aset pertama dalam bentuk mata wang kripto, menjadikannya aset paling popular dalam kalangan pengguna. Bitcoin dihasilkan melalui proses penempaan (mining) yang memakan satu jangka masa yang amat panjang, dengan cara penyelesaian masalah dan formula matematik untuk menghasilkan bitcoin menggunakan peralatan komputer.
Penghasilan Bitcoin telah ditetapkan untuk tidak melebihi 21 juta bitcoin, dan pada kadar sekarang, ia dijangka habis ditempa kira-kira pada tahun 2040.[29]
Jaringan blok (blockchain) pula ialah satu lejer awam yang merekodkan segala transaksi bitcoin yang dapat diakses oleh semua pengguna yang terlibat dengan proses transaksi dan penempaan bitcoin.
Menurut pengasasnya, Bitcoin dicipta bagi membolehkan transaksi pembayaran secara atas talian (online) dihantar secara terus dari satu pihak kepada pihak yang lain (peer-to-peer) tanpa perlu melalui institusi perbankan atau kewangan sebagai pihak ketiga dan ia akan melicinkan urusan transaksi. [30]
Selain itu, masalah penggodaman terhadap sistem juga amat sukar dilakukan kerana teknologi blockchain yang digunakan adalah berbentuk lejer awam yang merekodkan segala transaksi yang dibuat, dan lejer ini dapat diakses dan dikawalselia oleh kesemua pengguna. Melalui sistem ini, penggodam tidak mampu menipu sistem untuk menempa bitcoin secara tidak sah.
Bitcoin juga mampu menyediakan perkhidmatan transaksi yang lebih murah berbanding institusi perbankan yang mengenakan kadar cas perkhidmatan beberapa peratus, bergantung kepada bank dan jenis transaksi.
KEDUDUKAN BITCOIN SEBAGAI MATA WANG
Persoalan samada bitcoin adalah sejenis mata wang atau tidak masih lagi diperdebatkan. Menurut The Economist, Bitcoin menepati 3 ciri-ciri mata wang:
- sukar diperoleh
- bekalannya terhad
- mudah untuk dipastikan (verify). [31]
Setakat kajian ini dilakukan, Bitcoin masih kekal sebagai mata wang kripto yang paling mudah dicairkan dan terbesar di pasaran dari segi aktiviti pengguna dan aktiviti pemaju. Ia mempunyai jumlah dagangan harian melebihi USD 10 bilion dan penilaian pasaran USD 135 bilion (setakat 18 April 2018).
Dalam Islam, para sarjana meletakkan pelbagai ciri mata wang sama ada ciri fizikal, teknikal dan seumpamanya. Contoh ciri fizikal ialah senang dibawa, dikira, ketahanan dan seumpamanya. Namun ciri penting yang perlu ada sebagai mata wang ialah dua sifat utama:
- Diterima umum: Wang hendaklah diterima umum tidak kira dalam sistem ekonomi apa sekali pun bagi berfungsi sebagai alat tukaran. Imam Malik berkata, andainya kulit dijadikan wang oleh sesuatu masyarakat, maka aku akan haramkan ia ditukar dengan emas secara bertangguh. Oleh itu, dapat difahami di sini bahawa apa sahaja yang diterima umum sebagai mata wang, maka ia boleh dijadikan wang. Walaupun kulit kambing, bitcoin, garam dan gula. Wang kertas yang ada ketika ini diterima umum, walaupun cuma kertas dan ia disahkan oleh kerajaan.
- Kestabilan nilai: Sifat ini sangat penting kepada wang untuk menjalankan fungsi wang. Secara umumnya, nilainya yang stabil dan tidak mudah naik dan turun secara mendadak. Jika mata wang nilainya tidak stabil, maka ia tidak boleh berfungsi sebagai penyimpan nilai.[32]
Risiko Bitcoin
Bitcoin (dan juga mata wang kripto yang lain) merupakan satu produk inovasi moden yang masih baru dalam pasaran, dan sudah pasti ia mempunyai risiko dan masalah yang masih belum diselesaikan hingga sekarang. Antaranya ialah:
- Naik turun nilai yang sukar dikawal dan dijangka akibat spekulasi berlebihan para pelabur (fluctuation/volatility)
Sewaktu Bitcoin mula-mula diperkenalkan, nilainya tidak melebihi USD1, namun sejak itu ia mula mendapat populariti diseluruh dunia dan nilainya terus meningkat naik.
Bitcoin memulakan tahun 2017 dengan nilai USD 966, dan naik mendadak hingga merekodkan harga tertinggi dalam sejarah pada USD19,850 pada pertengahan Disember, ia tiba-tiba mengalami penurunan mendadak kepada USD12,000 hanya dalam masa beberapa hari.
Namun demikian sejak awal 2018, harga bitcoin mula menunjukkan sedikit kestabilan, dengan konsisten mengekalkan paras USD6000 sejak pertengahan 2018. Sejak tiga bulan belakangan pula, ia berada dalam lingkungan USD 6,300 hingga USD 6,700, menunjukkan tahap kestabilan tertinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.[33]
Namun ketidakstabilan ini tetap melahirkan kebimbangan bahawa fenomena Bitcoin ini tidak lain hanya seperti buih yang akan pecah pada bila-bila masa. Ketidakstabilan harga Bitcoin ini juga menumbuhkan minat kepada mata wang kripto alternatif yang lain seperti ethereum, litecoin dan XRP.[34]
b. Risiko penggodaman terhadap sistem
Setakat kajian ini dilakukan, kes kecurian terbesar melibatkan bitcoin berlaku pada tahun 2014, apabila pusat dagangan terbesar ketika itu Mt. Gox telah kehilangan sejumlah 850000 bitcoin akibat penggodaman terhadap sistem komputer mereka, dengan nilai kerugian ketika itu berjumlah USD 480 Juta.[35]
Sementara untuk kes terkini pula melibatkan Youbit, sebuah pusat dagangan bitcoin di Korea Selatan yang telah jatuh muflis pada Disember 2017 setelah hampir 4000 bitcoin milik para pelabur dicuri dalam satu siri serangan siber.[36]
Sehingga kajian ini dilakukan, dianggarkan kira-kira 980 000 Bitcoin telah dicuri daripada bursa, dengan kerugian dianggarkan USD 15 Bilion menurut nilai semasa.[37]
c. Dieksploitasi oleh penjenayah untuk kegiatan penggubahan wang haram dan mendanai aktiviti keganasan
Pada Januari 2017, Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Keuangan (PPATK) yang merupakan satu agensi anti penggubahan wang haram Indonesia melaporkan bahawa Bahrun Naim, salah seorang penyokong Daesh menggunakan bitcoin untuk mendanai aktiviti keganasan kumpulan militan itu di Syria.[38]
Sementara itu pada Disember 2017, sebuah mahkamah persekutuan di New York, Amerika Syarikat (AS) telah mendakwa Zoobia Shahnaz, seorang wanita warga AS kelahiran Pakistan atas tuduhan mendanai aktiviti pengganas Daesh menggunakan saluran bitcoin dan lain-lain mata wang kripto melibatkan dana berjumlah USD 85000.
Jabatan Keadilan (Department of Justice) (AS) dalam kenyataan sama menambah bahawa pertuduhan tersebut masih lagi di peringkat siasatan dan tertuduh belum bersalah selagi belum terbukti.[39]
Namun disebalik kes-kes yang dilaporkan, beberapa pakar masih enggan membuat kesimpulan bahawa mata wang kripto sememangnya satu ancaman secara mutlak dari sudut membantu aktiviti keganasan.
Sebagai contoh, David Carlisle, seorang konsultan bagi Royal United Services Institute (RUSI) yang merupakan badan pemikir bebas tertua dunia dalam bidang pertahanan dan keselamatan antarabangsa menyebut bahawa masih belum jelas samada mata wang kripto akan menjadi sumber dana utama bagi aktiviti pengganas. Bahkan tanpa mata wang kripto sekalipun, mereka telahpun mempunyai banyak sumber kewangan lain yang tidak putus-putus.
Tambah beliau lagi, tanggapan bahawa mata wang kripto adalah satu ancaman besar dari sudut keselamatan memberi gambaran seolah-olah sistem kewangan konvensional sedia ada tidak mempunyai risiko dieksploit ke arah mendanai aktiviti keganasan.[40]
d. Kemunculan skim-skim pelaburan palsu berasaskan bitcoin dan mata wang kripto
Terdapat banyak skim pelaburan palsu yang menggunakan bitcoin sebagai tarikan kepada pelabur yang telah muncul selaras dengan perkembangan mata wang kripto tersebut sama ada di peringkat nasional mahupun global.
Antara contoh syarikat tersebut ialah Bitkingdom, Ethtrade Malaysia dan Ethtrade Limited, yang berdaftar di Hong Kong, dan syarikat-starikat ini telah tersenarai di dalam Bank Negara Financial Consumer Alert pada 23 Jun 2017.[41]
Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
BAYAN LINNAS #153: HUKUM PENGGUNAAN MATA WANG BITCOIN
Bersambung.