MUMTAZ MD. NAWI
KOTA BHARU 31 Okt. – Kerajaan negeri bersedia mengkaji pelaksanaan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah gejala sosial di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi berkata, sekurang-kurangnya tujuh negara sudah menjadikan perintah berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak sebahagian daripada peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, antara negara yang sudah melaksanakannya adalah Amerika Syarikat (AS), Australia, Thailand, Jerman, Britain, Iceland dan United Kingdom (UK).
“Kita sambut baik cadangan perintah berkurung yang mampu merapatkan hubungan kekeluargaan dan menurunkan kadar gejala sosial, peraturan sebegini sudah dilaksanakan di lebih 500 buah bandar di AS dan banyak negara lain.
“Kebanyakan negara menetapkan remaja berusia 16 tahun ke bawah tidak boleh keluar rumah melebihi pukul 10 malam manakala bagi remaja bawah 18 tahun pula larangan adalah pada waktu melebihi pukul 12 malam,” katanya semasa berucap menggulung perbahasan Belanjawan 2019 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.
Sementara itu, Mumtaz ketika dihubungi berkata, beliau yakin berdasarkan perkembangan isu sosial masa kini, sudah tiba masanya untuk melaksanakan apa yang menjadi amalan negara luar demi menjamin masa hadapan anak-anak di negeri ini.
Beliau berkata, perintah berkurung boleh dibuat sama ada melalui kuasa legislatif negeri ataupun undang-undang kecil majlis perbandaran.
“Negara maju sudahpun menjadikan ini amalan malah jika kita melihat contoh negara Iceland peraturan begini telah terbukti berjaya mengurangkan gejala sosial di negara tersebut.
“Malah, ada bandar di AS seperti Los Angeles yang mengenakan perintah berkurung untuk remaja bukan saja waktu malam bahkan tempoh tertentu pada waktu siang,” katanya. (Utusan)