Royalti: Akui Trpaksa Bayar Sebelum Berakhir 2018


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Amiruddin Hamzah akhirnya terpaksa mengakui bahawa royalti petroleum kepada Kelantan akan dilangsaikan sebelum tahun 2018 berakhir.


Perkara itu dinyatakannya setelah diasak dengan pertanyaan dari Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS – Rantau Panjang) dan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS – Tumpat) pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.
Pun begitu, terdahulu beliau dilihat teragak-agak untuk menjawab soalan mengenai royalti tersebut apabila berlegar jawapannya disekitar beberapa alasan dan cuba mengelak ketika sesi Menjawab Pertanyaan-pertanyaan.
“Isu royalti tidak berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. Ia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
“Oleh yang demikian, saya harap semua yang sedang menunggu jawapan ini terus bersabar. Apabila sampai masa dan ketikanya, jawapan itu akan diberikan,” ujarnya.
Bahkan ketika Siti Zailah kembali mencelah, Amiruddin dengan pantas cuba menegaskan bahawa perkara tersebut bukan di bawah bidang kementeriannya dan tiada jawapan untuk dijelaskan beliau.
Namun beliau terus dibentak oleh Siti Zailah apabila terus bangkit menempelak penyataan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini yang disifatkannya sebagai menghina maruah rakyat Kelantan.
Manakala Dato’ Che Abdullah yang turut bangun telah mengingatkan Amiruddin mengenai jaminan Perdana Menteri dalam Majlis Kewangan Negara untuk membayar royalti tersebut kepada negeri-negeri terlibat.
“Jadi, apabila sudah ada jaminan daripada Perdana Menteri (PM), patutnya menjadi tanggungjawab Menteri Kewangan menyalurkan bayaran ini. Jadi, kita hendak minta Menteri Kewangan (jawab).
“Apakah halangan hingga ke hari ini, apabila PM telah pun berjanji dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara untuk membayar royalti tetapi tidak dibayar oleh Menteri Kewangan?” soal beliau.
Pertikaian turut dibangkitkan Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS – Kuala Nerus) yang menegaskan bayaran royalti dibuat oleh Kementerian Kewangan, tetapi tidak sampai jumlah yang sepatutnya diberikan.
Dato’ Amiruddin kemudiannya mengakui tidak menafikan jaminan telah disebut PM dalam Majlis Kewangan Negara dan ianya juga telah disebut dan dijawab dalam soalan Dewan.
“Kita di Kementerian Kewangan akan memastikan bahawa setiap yang telah diputuskan itu akan kita laksanakan dengan kadar ataupun apabila sampai masanya untuk kita membuat pembayaran.
“Ia akan kita pastikan apabila kita mendapat arahan. Kita hanya melaksanakan. Pembayaran yang telah dibuat adalah berdasarkan kepada apa yang telah diputuskan sebelum ini.
“Kita masih ada sehingga akhir tahun untuk melunasi apa yang perlu dilunaskan,” jawabnya sambil terus menerima pertanyaan dari Tumpat dan Kuala Nerus hingga akhirnya mengakui komitmen itu sebelum tahun ini berakhir. – HARAKAHDAILY 1/11/2018

Hasil carian imej untuk kelaura mahathir dan keluarga