DR. MAHATHIR MOHAMAD bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking (depan, tiga dari kiri) melihat pameran dalam majlis pelancaran dasar nasional Industri 4.0, Industry4WD di Menara MITI, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ROY AZIS ABD AZIZ
KUALA LUMPUR 31 Okt. - Kerajaan membayangkan tiada lagi pemberian subsidi kepada rakyat termasuk kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membendung budaya terlalu bergantung kepada pihak lain serta tidak mampu berfikir.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sikap bergantung kepada subsidi dan insentif adalah salah dan lebih diburukkan lagi apabila diamalkan oleh kerajaan terdahulu.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini tidak lagi seperti kerajaan terdahulu yang selalu memberi subsidi kepada kebanyakan rakyat.
“Inilah yang dilakukan kerajaan terdahulu. Mereka memberi wang kepada rakyat dan golongan miskin serta anda tidak perlu bekerja. Walaupun tidak bekerja, anda tetap mendapat RM500 (Bantuan Rakyat 1Malaysia).
“Jika Malaysia terus menjadi sedemikian, tidak lama lagi, semua orang tidak akan mampu berfikir, tidak boleh bergerak dan tidak boleh melakukan kerja dengan sendiri kerana terlalu bergantung kepada subsidi,” katanya selepas merasmikan Dasar Nasional Industri 4.0, Industry4WD di Menara MITI, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.
Sumbangan PKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 37.1 pada tahun lalu berbanding 36.6 peratus pada tahun 2016.
Menjelang tahun depan pula, sumbangan PKS kepada KDNK dijangka meningkat kepada 42 peratus.
PKS membentuk lebih 90 peratus dalam entiti perniagaan di Malaysia terutamanya dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan pertanian. (Utusan)