NGO sokong cuti Jumaat, Sabtu
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan disarankan untuk menyelaraskan cuti mingguan kepada hari Jumaat sebagai satu langkah bijak bagi menangani masalah dan keresahan yang dihadapi majikan dan pekerja.
Keresahan yang timbul ialah majikan akan merasakan kerugian jika waktu rehat diberikan lebih lama daripada biasa dan kemungkinan lain seperti kesesakan jalan raya di mana melambatkan pekerja kembali ke pejabat.
Manakala di pihak pekerja pula merasa tertekan kerana terpaksa pulang tergesa-gesa ke tempat kerja disebabkan masa yang singkat dan tidak mahu ada konflik dengan majikan.
"Dilema ini boleh diatasi dengan memberikan keadaan menang-menang iaitu menyelaraskan cuti mingguan itu kepada Jumaat dan Sabtu," demikian pandangan ini dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Beliau menyatakan demikian sebagai menyokong cadangan daripada PAS Kelantan melalui Ketua Penerangannya, Dato’ Ustaz Nassuruddin Daud yang mencadangkan agar cuti mingguan diselaraskan bagi memudahkan majikan dan pekerja menunaikan amanah masing-masing.
"Walaupun bekerja pada hari Jumaat bukanlah dosa, tetapi ada hukum berkaitan jual beli ketika solat Jumaat berlangsung selain daripada majikan tidak membenarkan pekerja Muslim pergi ke masjid," kata Nassuruddin ketika menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu.
Ustaz Mohd Nor yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu turut menyarankan agar kerajaan negeri lain untuk mengikut jejak langkah Kelantan dan Terengganu yang menjadikan hari Sabtu sebagai hari keluarga.
“Kerajaan Terengganu baru-baru ini telah mengikut jejak langkah Kelantan dengan mengisytiharkan Jumaat sebagai hari ilmu dan Sabtu sebagai hari keluarga.
"Kita memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada rakyat untuk mengikuti kuliah ilmu dibeberapa tempat yang dikhaskan oleh kerajaan pada hari Jumaat, kerana bagi kerajaan, ilmu amat penting untuk diberikan kepada rakyat.
"Manakala pada hari Sabtu pula, banyak tempat-tempat menarik di Terengganu untuk dijadikan lokasi perkelahan bersama keluarga atau apa-apa akitiviti lain untuk mengeratkan hubungan mereka, dan menjana ekonomi peniaga-peniaga tempatan,” terang beliau.
Beliau juga yakin hal ini tidak akan menjadi polemik keagamaan kerana Malaysia mempunyai hampir 70 peratus penduduk beragama Islam, maka ianya adalah munasabah dilaksanakan dan Islam juga adalah agama rasmi negara.
Selain Kelantan dan Terengganu, Kedah dan Johor juga menetapkan cuti rasmi mingguan negeri pada hari Jumaat dan beliau percaya ia boleh dikembangkan lagi ke negeri-negeri lain. - HARAKAHDAILY 20/1/2019
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Blog ini menyokong cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, yang memanjangkan cadangan daripada PAS Kelantan melalui Ketua Penerangannya, Dato’ Ustaz Nassuruddin Daud.
"Kerajaan Persekutuan disarankan untuk 'menyelaraskan cuti mingguan kepada hari Jumaat'.. Itu sebagai satu langkah wajar bagi membuktikan secara simbolik bahawa Malaysia ingin membebaskan pemikiran rakyatnya dari dijajah oleh budaya barat yang meletakkan hari Ahad sebagai cuti umum." Ujar editornya, Hj Mohd Hasyim.