SEBAHAGIAN umat Islam yang berhimpun di ibu pejabat polis daerah Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang malam ini bagi mendesak polis mengambil tindakan lebih tegas terhadap lelaki yang menghina Nabi Muhammad SAW menerusi Facebook. - UTUSAN ONLINE
PULAU PINANG 23 Feb. - Lebih 100 ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam berhimpun secara aman di hadapan ibu pejabat polis daerah Timur Laut di sini malam ini bagi mendesak lelaki yang yang menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook ditahan semula dan dijatuhkan hukuman segera.
Mereka mula berkumpul di hadapan ibu pejabat polis itu di Jalan Patani di sini sejak pukul 9.30 malam tadi sehingga terpaksa dikawal sepasukan anggota polis.
Selain mendesak supaya tindakan lebih tegas diambil terhadap pihak yang menghina agama Islam, beberapa wakil NGO itu turut membuat laporan berhubung beberapa insiden berkaitan supaya tindakan dapat diambil.
Menurut Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd. Zain berkata, tindakan mereka berhimpun itu adalah sebagai luahan rasa kecewa selepas lelaki yang menghina Nabi Muhammad SAW berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, keputusan itu disifatkan tidak adil sedangkan kesalahan lelaki berkenaan yang menyentuh sensitiviti umat Islam adalah amat berat sekali gus sepatutnya dikenakan hukuman yang tegas dan setimpal.
“Sebagai negara Islam, kita perlu mempertahankan Islam, bukannya membiarkan sahaja Islam dihina. Tindakan menahan lelaki itu selama tiga hari dan kemudiannya melepaskannya dengan jaminan polis adalah tidak wajar.
“Sebab itu kami berkumpul di sini malam ini bagi mendesak polis menahan semula lelaki tersebut dan menghukumnya dengan hukuman lebih berat.
“Jika kami yang beragama Islam tidak mempertahankan Nabi Muhammad SAW, siapa lagi nak mempertahankan Baginda?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Azdy Mohd. Arshad berkata, pihaknya bimbang sekiranya wujud unsur ketidakadilan dalam kes membabitkan lelaki tersebut.
Katanya, pembebasan lelaki itu tanpa sebarang pendakwaan memperlihatkan Peguam Negara gagal dalam melaksanakan tanggungjawab dengan adil sedangkan kes itu secara jelas menyentuh sensitiviti umat Islam yang merupakan agama Persekutuan.
“Apa yang kami bimbang, lelaki tersebut akan terus bebas walaupun menghina Nabi Muhammad SAW dan selepas ini lebih banyak pihak akan melakukan perbuatan sama kerana tahu mereka kebal daripada undang-undang,” katanya.
Rabu lalu, lelaki yang menggunakan nama Facebook Foo Sin Wai yang ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW menerusi Facebook dibebaskan dengan jaminan polis selepas tiga hari ditahan.
Lelaki berusia 68 tahun itu sebelum ini mencetuskan kemarahan umat Islam selepas memuat naik karikatur menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah. - UTUSAN ONLINE