Teo Nie Ching disambut oleh murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Subramaniya Barathee, Gelugor semasa melawat tapak projek pembinaan bangunan tambahan sekolah berkenaan, 22 Feb, 2019. --fotoBERNAMA
Jangan abai pendidikan seks di sekolah - Teo Nie Ching
GEORGE TOWN: Guru-guru diminta tidak mengabaikan pendidikan seks di sekolah dalam usaha menangani jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, buat masa ini pendidikan seks diajar di peringkat prasekolah hingga sekolah menengah di bawah sukatan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).
Katanya, elemen pendidikan seks di dalam mata pelajaran PJPK adalah penting untuk mengajar kanak-kanak tentang keselamatan diri terutamanya apabila berhadapan dengan gangguan seksual.
"Saya harap guru-guru tidak memandang subjek itu sebagai sesuatu yang remeh dan menggantikannya dengan mata pelajaran lain. Tolong jangan buat begitu," katanya.
Justeru bermula di peringkat prasekolah, kanak-kanak perlu diajar cara untuk membezakan antara sentuhan yang selamat atau tidak, bagi melindungi mereka daripada menjadi mangsa seksual.
"Saya membaca artikel yang mengatakan Malaysia 'hotspot' untuk jenayah seksual terutamanya terhadap kanak-kanak.
"Jadi, kita mesti ajar anak-anak kita. Kita perlu mencari cara atau idea (untuk ajar) tentang sentuhan selamat atau tidak selamat, sentuhan selesa atau tidak selesa.
"Ia belum terlambat. Jika (gangguan seksual) berlaku kepada mereka, mereka tahu bagaimana untuk membezakannya," kata Nie Ching selepas mengadakan lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Subramaniye Barathee di Gelugor, Pulau Pinang pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan sukatan mata pelajaran tersebut.
Tambahnya, kurikulum PJPK sekarang akan turut dikaji semula dan dikemaskini agar sesuai dengan keadaan semasa. (AA)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bagaimana seks cara Islam di blog ini? Lihat dalam artikel-artikel terdahulu dan seterusnya.