Warga emas didakwa 2 tuduhan muat naik karikatur hina Nabi Muhammad


Wai Foo Sing didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, atas dua tuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aishah dengan memuat naik karikatur berunsur penghinaan di laman akaun Facebook miliknya, minggu lalu. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aishah dengan memuat naik karikatur berunsur penghinaan di laman akaun Facebook miliknya, minggu lalu.
Wai Foo Sing, 68, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim M Edwin Paramjothy.
Tertuduh yang hadir ke mahkamah seorang diri memakai kemeja-T kuning dan seluar hitam, dilihat tenang dan hanya mendiamkan diri sepanjang prosiding yang bermula kira-kira jam 10.35 pagi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Foo Sing didakwa menggunakan laman Facebook “Foo Sing Wai” memuat naik karikatur berunsur penghinaan, di mana tindakan itu berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni di antara kumpulan beragama Islam dan bukan Islam di seluruh negara, yang dibaca jam 12 tengah hari pada 18 Februari lalu.
Dia dituduh melakukan kesalahan kesalahan itu Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini, jam 5 petang, pada 17 Februari lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Foo Sing didakwa menggunakan laman Facebook yang sama, membuat dan memulakan komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain, di tempat, masa dan tarikh sama.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998(Akta 588), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal tidak menawarkan sebarang jaminan namun sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin pihaknya mencadangkan jumlah RM30,000 dengan seorang penjamin dengan alasan pertuduhan itu membabitkan kesalahan serius.
“Kes ini juga mendapat perhatian masyarakat awam, kadar jaminan yang rendah dibimbangi boleh menjejaskan pandangan masyarakat terhadap badan kehakiman dan menjamin kehadiran tertuduh pada setiap perbicaraan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili pegum dalam rayuannya memohon dikenakan ikat jamin rendah dengan alasan sudah berusia dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
“Anak lelaki saya akan datang untuk membayar jamin, namun saya tidak tahu berapa jumlah wang yang dibawa,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 April ini untuk sebutan semula kes.
Minggu lalu media melaporkan, seorang lelaki yang menggunakan nama Facebook Foo Sin Wai ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW menerusi Facebook dibebaskan dengan jaminan polis selepas tiga hari ditahan.
Lelaki itu sebelum ini mencetuskan kemarahan umat Islam selepas memuat naik karikatur menghina perkahwinan Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aishah. (BH)