KUALA LUMPUR 17 Mei – Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (pati) ditahan dalam Operasi Bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menggempur beberapa lokasi pangsapuri di sekitar Kajang hari ini.
Operasi yang dilakukan dengan kerjasama anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang itu mensasarkan warga asing yang menetap dan menyewa di unit rumah pangsapuri berkenaan.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzamee Daud berkata, hasil serbuan itu seramai 76 warga asing telah diperiksa membabitkan 46 lelaki dan 30 wanita.
“Pemeriksaan terperinci pihak kami berjaya menahan seramai 18 lelaki dan empat wanita warga asing yang terdiri daripada 16 lelaki Nigeria, satu lelaki Cameroon, satu lelaki Sierra Leone, dua wanita Uganda, satu wanita Cameroon dan satu wanita Thailand atas pelbagai kesalahan Imigresen.
“Kesemua tangkapan telah dibawa balik ke IPD Kajang untuk tindakan susulan sebelum diserahkan kepada pihak Jim atas kesalahan-kesalahan Imigresen yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Khairul Dzamee memberitahu, semasa operasi didapati ada di antara suspek yang ditahan ini sanggup menggadaikan nyawa untuk cuba terjun dari aras dua bangunan bagi melarikan diri.
“Namun, perbuatan suspek berjaya dipatahkan oleh anggota dengan terus mengejarnya sehingga menyerah diri.
“Selain itu, ada dalam kalangan suspek juga tidak memberikan kerjasama apabila pintu rumah diketuk beberapa kali oleh anggota operasi sehingga memaksa pintu rumah dipecahkan,” ujarnya.
Tambah Khairul Dzamee, ada antara suspek yang cuba menyembuyikan diri mereka di dalam rumah berjaya dihidu anggota operasi.
“Bermula tahun 2018 hingga ke hari ini, pihak Jim telah menahan seramai 282 orang warga Afrika atas pelbagai kesalahan Imigresen untuk tindakan lanjut. –UTUSAN ONLINE