Setahun PH Islam Liberal Makin Membiak -Mohd Nassurudin Daud



KOTA BHARU: Setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) macam-macam berlaku, lebih membimbangkan lagi fahaman Islam liberal dan LGBT makin merebak.
Sebelum ini heboh Islam liberal apabila Amina Wadud mengimamkan solat diikuti lelaki dan perempuan.
Ketua Penerangan PAS Kelantan Dato’ Mohd Nassurudin Daud berkata, sekarang Islam liberal dibiarkan berkembang sehinggga cuba mempengaruhi orang lain dengan mempertikaikan perundangan Islam.
“Mereka cuba mempertikaikan hukuman rejam dalam Islam. Jelaslah fahaman liberal semakin merebak.
“Begitu juga fahaman syiah makin membiak, dahulu pun sudah ada namun sekarang bertambah lagi setelah pemimpin mereka memiliki kuasa,” katanya pada kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu hari ini.
Bagaimanapun katanya mereka yang mengamalkan ajaran syiah tetap tidak mengaku biar pun berlaku secara terang terangan.
Malah katanya ada pengikut syiah semakin berani menyebarkan ajaran mereka kepada orang ramai.
“Saya sebut kepada penguatkuasa Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan supaya menahan mereka yang didapati cuba menyebarkan ajaran berkaita syiah,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 17/5/2019