Khamis lalu, Noor Amila Edrus Norsham, 5, dilaporkan hilang selepas pergi ke surau berdekatan kediamannya dan tidak pulang ke rumah selepas waktu Maghrib. |
KUALA LUMPUR: Mayat kanak-kanak yang ditemukan di kawasan semak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang di sini tengah hari Khamis disahkan sebagai Noor Amila Edrus Norsham yang hilang sejak minggu lalu.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali kepada media.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak polis masih menunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca kematian kanak-kanak itu.
Susulan penemuan itu, mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Sumber polis memberitahu kanak-kanak tersebut ditemukan dengan kepalanya terpisah daripada badan.
"Sekarang kita sedang tunggu keputusan forensik dan saya tidak boleh dedahkan apa-apa setakat ini, bimbang mengganggu siasatan," kata Abdul Hamid.
Noor Amila Edrus dilaporkan hilang di Jinjang Utara pada Khamis lalu sebelum ditemukan sekitar 12.30 tengah hari Khamis.
Dia dilaporkan hilang selepas pergi ke surau berdekatan kediamannya dan tidak pulang hingga waktu Maghrib.
Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa yang ditahan sebelum ini, membawa polis ke lokasi penemuan itu, kata satu sumber. - Bernama
PERHATIAN: "Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada kami di kitabantaiinfo [at] gmail [dot] com"