WELLINGTON: Seorang wanita Islam yang memakai tudung dan rakannya menjadi mangsa maki hamun berunsurkan perkauman di sebuah hentian rehat selain dibaling dengan tin bir di New Zealand.
Perunding komunikasi, Mehpara Khan, 28, dan empat rakannya kembali ke Auckland dari melancong apabila berhenti di Huntley untuk menggunakan bilik air dan dimaki seorang wanita lain yang berada di situ.
Khan menyiarkan video itu di Twitter menunjukkan seorang wanita membaling tin minuman keras ke arahnya sambil memaki hamun mereka.
"Tiba-tiba sahaja wanita itu keluar dari bilik air dan mula memaki hamun kami dan memanggil kami sebagai Islam anak haram, tidak layak berada di negara ini dan dihalau.
"Dia kemudian membaling tin bir ke arah saya dan dua daripada rakan saya. Saya dibasahi bir. Kami tidak berbuat apa-apa, malah pada awalnya tidak sedar dia bercakap dengan kami," Khan dipetik sebagai berkata oleh New Zealand Herald.
Katanya, sebaik wanita itu menyebut perkataan Islam 'anak haram' baru mereka sedar dia menjerit kepada mereka dan Khan terus merakamkan aksinya. Wanita berusia 27 tahun yang melakukan serangan itu dirakamkan menghalau Khan dan rakannya keluar dari New Zealand.
Jurucakap polis berkata, mereka sedar mengenai video itu dan aduan rasmi sudah dibuat. "Polis sedang menilai maklumat," katanya.
Jurucakap Majlis Wanita Islam, Anjum Rahman, berkata beliau terperanjat, tetapi tidak begitu terkejut, dengan serangan itu.
"Sebilangan kecil rakyat New Zealand berperangai seperti itu. Saya mahu bertemu wanita itu untuk membantu dia mengubah sikap terhadap umat Islam," katanya.
Khan mendapat sokongan kuat selepas menyiarkan video berkenaan. (IH)
PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.