KUALA LUMPUR 23 Julai – Tindakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab bagi pihak Menteri Kewangan dalam sesi soal jawab berhubung cadangan kerajaan untuk membuat pinjaman kewangan dari Jepun menimbulkan persoalan tentang tahap kepercayaan beliau terhadap kemampuan Lim Guan Eng.
Persoalan itu ditimbulkan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (BN-Beluran) yang melihat senario tersebut sebagai satu tradisi baharu dalam sidang Dewan Rakyat.
Ronald menjelaskan, perkara seperti itu tidak pernah berlaku semasa beliau menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Satu soalan dikemukakan kepada Menteri Kewangan dijawab oleh Perdana Menteri dan perkara ini di luar tradisi Parlimen.
“Jika diberi peluang, Bagan (Guan Eng) tentu dapat jawab soalan dengan baik dan tidak membayangkan Yang Berhormat (Perdana Menteri) tidak mempercayai keupayaan dan kebolehan Bagan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat hari ini, soalan pertama dalam sesi soal jawab mengenai alasan untuk Malaysia membuat pinjaman kewangan dari Jepun ditanya oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) kepada Guan Eng.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Dr. Mahathir berhak untuk menjawab bagi pihak Menteri Kewangan kerana beliau merupakan orang yang paling berkuasa.
“Perdana Menteri merupakan orang yang paling berkuasa dan sudah tentu beliau ada hak,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Guan Eng berkata, Dr. Mahathir juga telah menunjukkan sikap yang bertanggungjawab menerusi tindakan tersebut.
“Ini menunjukkan sikap tanggungjawab beliau kerana perkara ini dinyatakan oleh beliau terlebih dahulu dan saya rasa sikap akauntabiliti beliau harus dipuji,” katanya. (Utusan)