Surirumah Bakal Terima RM40 Sebulan


Yahaya menerima cenderahati daripada penganjur

Golongan surirumah, ibu tunggal dan mereka yang berkelayakan di negeri ini di saran mendaftar sebagai  ahli sukarela Insentif Suri (i- SURI) bagi membolehkan menerima sumbangan RM40 sebulan atau 480 setahun.

Mereka yang layak boleh berbuat demikian dengan mengunjungi mana-mana cawangan KSWP berdekatan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata syarat kelayakan adalah suri rumah, balu dan ibu tunggal di mana  profil mereka didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih).


Katanya, golongan itu layak  menyertai i-Suri dengan  membuat caruman minimum RM5 pada setiap bulan ke akaun simpaan persaraan mereka bagi melayakkan menerima insentif kerajaan RM40 setiap bulan yang dimasukkan ke akaun KWSP masing-masing.

“Individu yang menepati kelayakan dan membuat pendaftaran i-Suri akan menikmati manfaat sama seperti ahli KWSP iaitu dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, pengeluaran umur 50, 55 dan 60, bantuan hilang upaya serta bantuan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali pada Majlis Perasmian Taklimat i-SURI DUN Rhu Rendang, di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.

Taklimat itu diadakan sebanyak dua kali melibatkan 346 penduduk Rusila pada hari ini dan 437 penduduk Pulau Kerengga pada 1 November ini. (Tegankita)