KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggalkan dan digantikan dengan papan tanda jalan dalam Bahasa Melayu.
Titah itu disampaikan pada hari ini melalui Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad.
Baginda bertitah penanggalan papan tanda jalan bertulisan Cina itu mesti disegerakan dan diselesaikan selewat-lewatnya sebelum Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor pada 11 Disember ini.
Baru-baru ini tular beberapa keping gambar papan tanda bertulisan Cina di media sosial yang menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen mengenai pemasangan papan tanda nama jalan di kawasan sekitar bandar Shah Alam yang sebelum ini bertulisan jawi dan Bahasa Melayu telah digantikan dengan tulisan bahasan Cina. –HARAKAHDAILY 19/11/2018