BANYAK pihak memperkatakan konsep integriti mengikut kefahaman dan ajaran yang dianutnya. Islam adalah petunjuk Allah yang merangkumi fitrah manusia, jasad, akal dan roh. Maka Islam dibahagikan kepada akidah, syariat dan akhlak mengikut soalan malaikat Jibril kepada Rasulullah S.A.W. iaitu apakah Islam, iman dan ihsan?.
Al-Quran yang menjadi petunjuk bermukjizat menegaskan bahawa semuanya wajib berdasarkan dan berteraskan iman, di mana kesempurnaannya memenuhi segala aspek diri manusia, namun iman itu tetap menjadi syarat diterima oleh Allah.
Firman Allah:
قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا (103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (104) أُولَٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا (105) ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا (106)
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (103); (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.(104) Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada Hari Kiamat kelak. (105); (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya Neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan”. (106) (Surah Al-Kahfi: 103-106)
Firman Allah:
وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِندَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ (39)
“Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah amat segera hitungan hisabNya”. (Surah An-Nur: 39)
Firman Allah:
وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَّنثُورًا (23)
“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan”. (Surah Al-Furqan: 23)
Allah juga berfirman kepada Rasulullah S.A.W. secara khusus:
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (65)
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi”. (Surah Az-Zumar: 65)
Begitulah juga Allah menerima taubat orang yang beriman yang banyak dosanya dan menutup pintu taubat kepada mereka yang tidak beriman:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا (48)
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar”. (Surah An-Nisa': 48)
Penjelasannya menunjukkan bahawa beriman kepada Allah yang menjadi tonggak kepada akidah Islam adalah asas penting bagi seluruh ajaran Islam yang sempurna. Tanpa iman segala amal yang baik dan akhlak yang mulia tidak bererti lagi, kerana tiada nilai di Hari Akhirat yang menjadi wawasan penting bagi semua manusia.
Amal yang soleh dan akhlak yang baik pula adalah syarat kesempurnaan iman dan Islamnya seseorang. Maka integriti seseorang tidak mencukupi tanpa akidah yang ikhlas yang menjadi asas kepada semua amal yang soleh, sama ada mengerjakan amal yang baik atau meninggalkan kemungkaran dan menolaknya atau menentangnya. Begitu juga akhlak yang luhur juga wajib berlandaskan iman yang sebenarnya.
Iman itu dinamakan juga akidah yang bererti simpulan yang kuat terhadap Islam yang dianut dengan ikatan yang kukuh. Dinamakan akidah itu berpandukan petunjuk Al-Quran:
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (256)
“Tidak ada paksaan dalam agama (menganut Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Baqarah: 256)
Taghut itu adalah melampaui sempadan Allah dalam segala aspek yang wajib ditolak. Kepercayaan kepada Allah juga merangkumi dalam segala aspek. Ikatannya adalah dengan menolak yang lain daripada Allah dan hanya percayakan Allah sahaja yang disimpulkan dalam ucapan syahadah لا إله إلا الله .
Betapa besarnya erti ucapan kepercayaan kepada Allah sahaja, walaupun sedikit dan lemah atau tanpa amal yang soleh, tetapi masih ada kemanisan iman dalam diri seseorang walaupun dia melakukan dosa yang besar dan akhlak yang buruk, atau banyak jumlah dosanya yang kecil, kerana firman Allah:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ (7) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ (8)
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). (7); Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”. (8) (Surah Az-Zalzalah: 7-8)
Adapun iman itu tetap ada walaupun sedikit. Sabda Rasulullah S.A.W.:
ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ .(البخاري ومسلم)
“Tiga perkara, sesiapa yang berada dalam dirinya nescaya dia masih mempunyai kemanisan iman. Iaitu: Allah dan Rasul paling dikasihi lebih daripada yang lain, kasihnya kepada seseorang kerana Allah (ikhlas) dan benci terhadap kekufuran laksana enggannya kalau dicampak ke dalam neraka”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Adanya kalangan mereka yang melakukan maksiat yang besar, bahkan melakukan kekufuran kerana kejahilannya, namun di dalam dirinya ada cintakan Islam dan tetap benci terhadap kekufuran, adalah menunjukkan masih ada kemanisan iman dalam dirinya.
Betapa pentingnya iman itu, Rasulullah S.A.W. menyebutkan: Bahawa Allah memberitahunya ada dalam kalangan manusia yang menerima suratan amal pada Hari Kiamat nanti yang penuh dengan maksiat dalam suratan yang panjangnya sayup mata memandang, sehingga tiada kelihatan amal yang soleh sedikit pun, menyebabkan terasa tidak ada harapan lagi untuk menyelamatkan diri, tiba-tiba Allah menunjukan kepadanya secebis suratan yang terlalu kecil, hanya ucapannya percayakan Allah sahaja Tuhannya, dan menolak Tuhan yang lain daripada Allah dengan sebab ucapan dan kepercayaan itu masih ada dalam dirinya, maka dia dimasukkan ke syurga.
Tegasnya menunjukkan bahawa sejahat-jahat yang beriman akhirnya ke syurga dan sebaik-baik yang kafir tetap ke neraka. Maka jagalah iman sehingga akhir hayat dan sempurnakan iman itu dengan amal yang soleh dan akhlak yang baik.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (102)
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”. (Surah Aali ‘Imran: 102)
Maka integriti bersama Islam adalah merangkumi aspek kejadian manusia yang berunsurkan jasad, akal dan roh yang wajib diisi bersama iman, amal soleh dan akhlak yang mulia. Iman pula menjadi asas kepada amal yang soleh dan akhlak yang mulia. Amal yang soleh dan akhlak yang mulia tanpa iman ditolak dalam perhitungan di Hari Akhirat yang menjadi wawasan kepada penganut Islam.
Tegasnya iman tanpa amal soleh dan akhlak mulia adalah tidak sempurna. Amal soleh dan akhlak mulia tanpa iman pula ditolak.
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Jamadilakhir 1440 / 27 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 27/2/2019
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Jamadilakhir 1440 / 27 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 27/2/2019
Lihat sebelum ini..