SEKUMPULAN bekas penuntut Universiti Ohio State menyaman universiti itu selepas tidak mengendahkan dan gagal menghalang perbuatan penderaan seksual oleh Richard Strauss. - AFP
177 penuntut alami penderaan seksual
NEW YORK 18 Mei - Hampir 180 orang penuntut lelaki yang mengikuti pengajian di Universiti Ohio State mendakwa didera secara seksual oleh seorang bekas doktor pada lebih dua dekad lalu.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh pentadbiran universiti berkenaan, kakitangan yang bertugas ketika itu mengetahui tentang perkara tersebut namun gagal untuk mengambil tindakan.
Lapor Reuters, suspek, Dr. Richard Strauss didakwa mendera sekurang-kurangnya 177 penuntut ketika beliau berkhidmat sebagai ahli fizik di Jabatan Atlet dan Pusat Kesihatan universiti tersebut dari 1978 hingga 1998.
Kakitangan universiti sedia maklum tentang perbuatan Strauss pada 1979 namun aduan penuntut tidak disampaikan kepada pihak pentadbiran dan pegawai kanan atlet atau Jabatan Kesihatan sehingga tahun 1996.
Ketika itu, universiti berkenaan memecat Strauss selepas seorang penuntut mendakwa dia dicabul ketika peperiksaan.
“Pendedahan itu amat mengejutkan dan sukar untuk diterima. Kegagalan institusi kami ketika itu menyekat penderaan adalah tidak boleh diterima.
“Begitu juga dengan usaha yang tidak mencukupi untuk menyiasat aduan,” jelas Presiden Universiti Ohio State, Michael Drake dalam satu kenyataan permohonan maaf kepada semua mangsa.
Dalam pada itu, mangsa penderaan yang kini bergelar alumni, Kent Kilgore berkata, dia mahu pihak universiti mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
Terdahulu, sekumpulan bekas penuntut yang mendakwa menjadi mangsa Strauss, memfailkan dua tuntutan saman Persekutuan terhadap universiti itu.
Strauss dilaporkan membunuh diri pada 2005.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Begitulah bukti gagalnya, 'negara maju', konon.