Imbauan Imbasan 13 Mei 69 Di Balik Pulau PP. -Ibnu Hasyim


Kulit Buku 13 Mei 69 Oleh Tunku Abdul Rahman.. (atas)

Hasil carian imej untuk 13 mei 69
Monday, May 12, 2008 
Imbauan 8: 13 Mei 69 Di Balik Pulau.. 

Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI 
BARU-BARU ini saya sempat ke Balik Pulau (Pulau Pinang) lagi… jumpa seorang kawan lama. Dia bercerita….

Kelmarin, aku pi Tanjong (bandar George Town) di sebuah pejabat kerajaan. Sedang menunggu di kaunter, aku kenai-kenai dengan seorang bekas pegawai polis (kata dia). Masa perkenaikan aku dari Kampung Perlis Balik Pulau, dia terkejut.

“Hang tau dak, rumah depan simpang jalan masuk ke masjid Kampung Perlis?”. Aku angguk.

“Ada sesuatu berlaku menjadi kenangan titik hitam semasa aku bertugas dulu… Sehari dua, lepas 13 Mei 69 (berlaku rusuhan kaum di KL) itu, pagi-pagi di atas jalan (depan rumah itu) tertulis perkataan ‘Bunuh Kafir’ dengan gambar parang panjang berlumuran darah. Parang panjang gaya bentuk macam parang dalam bendera kerajaan Arab Saudi... 

Hal ini mencemaskan petani-petani atau penoreh- penoreh yang pergi ke sawah dan ladang pada hari itu. Perintah berkurung pun dikuat kuasakan, dan kami pihak polis perlu dapatkan maklumat lanjut mengenai siapa dan kumpulan mana di belakang kes tersebut.” Kata bekas pegawai polis itu.

“Polis syak siapa??” Aku tanya bekas polis itu.

Cerita kawan lama saya ini, membongkar kembali kenangan silam di kampung tempat saya dilahirkan. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain! Di situlah saya Ibnu Hasyim dibesarkan, walaupun beberapa ketika keluarga saya pernah berpindah mengajar agama ke Madrasah Al-Masakin di Teluk Bahang Pulau Pinang.. 

Saya ingat pada Mei 69 itu, saya masih bersekolah tingkatan 5 di Sekolah Menengah Seri Balik Pulau. Pada 14 Mei paginya saya masih pergi sekolah lagi. Saya tidak pedulikan apa yang terconteng di atas jalan depan rumah saya itu, kerana saya selalu terlewat pergi ke sekolah, bila pulang nanti, baru nak tengok betu-betul tulisan itu. 

Tetapi bila pulang sekolah, tulisan itu sudah di padamkan oleh pihak JKR atau PWD, cuma tinggal bayang-bayang saja. Rupanya perkara itu bukan perkara kecil, tetapi perkara sensitive dan dianggap besar.

‘Perintah berkurung’ pun dikuatkuasakan menjelang tengah malam. Keluarga saya amat cemas. Ayah saya tiada di rumah. Abang saya tidak pulang, dikatakan tersangkut di bandar, tidak pulang dari sekolah. Paginya dia belajar di Sekolah Arab Al-Mashhor, Lebuh Tek Soon (sekarang KOMTAR) di kawasan kaum Cina, petangnya di sekolah Inggeris.

Bertambah cemas lagi bila mengingatkan kira-kira 2 tahun lepas (1967) di Pulau Pinang berlaku rusuhan kaum, kononnya berikutan kejatuhan harga duit. Dikatakan ramai terbunuh, terutama orang-orang Melayu yang terjebak di dalam kawasan Cina. 

Saya teringat pada suatu pagi, apabila terdengar berlaku pembunuhan di bandaraya Pulau Pinang (1967) itu, beberapa pemuda-pemuda Melayu keluar beramai di jalanraya Kampung Perlis menuju ke Pekan Pulau Betong di kawasan penempatan Cina.

Konon untuk membalas dendam ke atas pembunuhan orang Melayu di bandar, tetapi akhirnya dihalang oleh pihak polis. Saya yang masih berumur kira-kira 15 tahun itu ingin ikut, tetapi ditegah oleh ibu saya. Begitu juga sebelah malamnya, walaupun perintah berkurung ada juga pemuda-pemuda dari kumpulan silat kampung yang ingin mengawal kampung kononnya takut diserang oleh puak-puak Cina, juga menghalang saya ikut serta.

Begitu juga sewaktu menjelang PRU 3 (Mei 1969) selepas merdeka, pada 24 April 1969 berlaku pembunuhan ke atas seorang pekerja pilihanraya berbangsa Melayu di Jelutong Pulau Pinang. Waktu itu di duit-duit kertas pun tertulis mesej seperti ‘Hutang darah di bayar darah!’ dan lain-lain. Suasana menjadi panas, bila parti pemerintah (Parti Perikatan) perolehi undi merosot dalam PRU tersebut. 


Hasil carian imej untuk 13 mei 69
Diikuti oleh perarakan-perarakan, termasuk perarakan mayat oleh Parti Buruh di KL pada 9 Mei 1969, hingga akhirnya tercetus peristiwa 13 Mei. 

Sebelum subuh pada 15 Mei 1969 saya dan adik-adik dikejutkan, dengan deruan kereta yang berulang alik di jalanraya depan rumah. Trak-trak PPH (pasukan polis hutan) yang di bawa berkawal di kampung saya. Adik-adik sedang asyik mengira jumlah kereta yang lalu-lalang melalui intaian di dinding-dinding rumah saya yang berlobang. Bila azan subuh tiba, ibu saya tak benarkan saya pergi solat di masjid, ‘Jangan langgar perintah berkurung!’ katanya.

Akhirnya bila sampai kira-kira pukul 9.30 pagi, tiba-tiba pintu rumah di ketuk orang. Setelah dibuka, “Kami dari pihak polis nak tanya, berapa ramai lelaki dewasa dalam rumah ni?”

“Cuma satu orang (abang saya yang tua). Bapa takdak di rumah, abang saya satu lagi bersekolah di Tanjung pun tak balik lagi.” Saya jawab.

“Takpa. Panggil abang hang mai ikut kami.” Kata polis itu. Dia beralih kepada saya, “Hang umuq berapa?”

“Masuk 17 tahun.”

“Jom ikut sekali!!”.

Saya pun dibawa bersama-sama. Lelaki-lelaki kampung itu dihimpunkan beramai-ramai di padang sepak takraw di situ. Di siasat dan dicheck sorang-sorang. Akhirnya semua dibebaskan, tiada siapa-siapa yang disyaki.

Kawan lama saya itu bercerita lagi.. bila dia tanya polis pencen itu, siapa yang dia syak? Jawab polis itu, “Hang kenai dak orang yang bawa masuk dan mula gerakkan PAS di Balik Pulau pada pertengahan 80an?”

Apabila kawan lama saya itu mengangguk, kata bekas polis itu, “Itulah orang yang kami syaki, tetapi kerana dia cuma seorang remaja yang bergerak sendiri, tiada siapa-siapa di belakangnya waktu itu, pekara itu kami tutup buku sahaja. Tapi bukan buang habis!!”

Orang yang mereka syaki itu rupanya adalah saya. Itulah nasib orang PAS. Tiap sesuatu yang tidak disukai pemerintah ada kaitan dengan agama, maka PASlah sasarannya. Mungkin sekarang dak lagi kot.. fasai Pakatan Rakyat dah perintah Pulau Pinang!!

Sekian catatan santai kali ini, sekadar mengingat imbauan lama 13 Mei. Wallahu ‘aklam.

Terdapat 3 comments:
cucupakkasim said...
yang terbunuh di Jelutong tu lah..aruah datuk saya..aruah pak kasim,mayatnya di simbah dengan cat warna merah,terbunuh dengan bendera umno disisi..
Anonymous said...
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas aruah Tok Kasim dan ditempatkan di kalangan para syuhadah. Amin.
Anonymous said...
Tok wan saya, aruah Tok Nayan pun disekat 7 orang Cha Yaa Nun Alif kat Teluk Bahang. Lepas tu dia pi mengamuk kat Chow Rasta.

LinkWithin