APA sahaja perkara yang menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan ajaran Islam sering mempunyai kaitan dengan pakatan pembangkang diketuai DAP. Perlukah parti chauvanist ini menyatakan kebencian yang berterusan terhadap orang Melayu dan agama Islam?
Baru-baru ini Charles Santiago Ahli Parlimen Klang dari DAP membuat kenyataan yang menguatkan lagi dakwaan ramai pihak berkenaan perkara tersebut.
Pada 21 Februari 2018 beliau menyebut bahawa “Kerajaan Malaysia mesti menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang mendiskriminasi terhadap golongan LGBT dengan segera”.
Lebih serius lagi, selain disiarkan di dalam portal berita Malaysia Kini di bawah tajuk “Bigotri Terhadap Masyarakat LGBT Mesti Dihentikan” (“The Bigotry Against The LGBT Community Must Stop”) pada 21 Februari 2018, kenyataan Charles ini turut dimuatkan di dalam laman rasmi DAP sendiri di bawah tajuk “Hentikan Bigotri & Kebencian Terhadap Golongan LGBT” (“Stop Bigotry & Hatred Against the LGBT People”) pada 21 Februari 2018 yang memberikan gambaran bahawa kenyataan Charles ini mencerminkan pendirian rasmi DAP sendiri.
Kenyataan anggota parlimen DAP itu mengenai komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dilihat mencerminkan pendirian rasmi parti itu berhubung isu berkenaan. Ia juga menyebut “kerajaan Malaysia mesti menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang mendiskriminasi terhadap golongan LGBT dengan segera” kerana “undang-undang yang menjadikan homoseksualiti sebagai satu jenayah, seperti di Malaysia, mendatangkan satu ancaman serius kepada hak-hak asasi individu-individu lesbian, gay, biseksual dan transgender.
Menurut penganalisis politik, sekiranya Charles dan DAP serius mahu menghapuskan semua peraturan dan undang-undang berkenaan, mereka terlebih dahulu perlu mendesak Kerajaan Pulau Pinang menghapuskan Seksyen 25, Seksyen 26 dan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996. Kerajaan Pulau Pinang kini diketuai oleh DAP dan bukan kerajaan pusat.
Ramai pihak menunggu reaksi dan pendirian pendirian rakan kongsi DAP dalam Pakatan pembangkang khususnya Parti Amanah Negara (PAN) mengenai sokongan Charles dan DAP terhadap isu berkenaan.
Dalam perlembagaannya PAN menyatakan “dasar dan tujuan parti itu” adalah untuk “memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan” dan “mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua.
Adakah PAN berani menentang dosa DAP dalam isu LGBT ini? Sebenarnya kita telah tahu jawapannya. Siapa sahaja yang berani menentang kemungkaran DAP akan ditentang habis-habisan sebagaimana yang terjadi kepada parti PAS. Tanya diri kita, adakah kita sanggup membiarkan DAP menjadikan Malaysia bergelumang dengan dosa secara mutlak dan merosakkan anak cucu kita?
Jika tidak maka anda perlu pastikan pakatan pembangkang diketuai DAP dikuburkan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 dalam masa terdekat ini.